Jumaat, 8 April 2011

Sihir,Mukjizat & Karamah

PENGENALAN DAN PENERANGAN MENGENAI SIHIR, MUKJIZAT, DAN KARAMAH

Sihir, mukjizat, dan karamah adalah suatu kelebihan yang luar biasa yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada manusia yang dipilihNya. Akan tetapi setiap kelebihan ini ada ciri-cirinya yang tersendiri dan ianya berada dalam kategori-kategori yang berlainan.

Penjelasan al-Maziri: Sebenarnya sihir, mukjizat dan karamah amat jauh perbezaannya. Kerana, sihir berlaku dengan bantuan sejumlah bacaan dan perbuatan sehingga terwujud apa yang diinginkan oleh tukang sihir. Sedangkan karamah tidak memerlukan perkara tersebut, bahkan biasanya berlaku semata-mata taufiq dari Allah S.W.T. Pendapat al-Hafiz Ibnu Hajar: Mari kita perhatikan pendangan Imam al-Haramain yang mengatakan bahwa sihir tidak akan muncul melainkan dari orang yang fasiq sedangkan karamah tidak akan muncul pada orang yang fasiq. Selanjutnya al-Hafiz menerangkan: Kita perlu meneliti keadaan orang yang mengalami perkara luar biasa tersebut, andainya dia berpegang teguh kepada syariah dan menjauhi berbagai-bagai dosa atau maksiat maka perkara luar biasa yang dialaminya adalah karamah, andainya dia tidak iltizam kepada ajaran Islam maka ia adalah sihir, kerana sihir itu berlaku dengan bantuan syaitan.

Sebagai contoh, di dalam menyampaikan dakwah dan risalah, para rasul semestinya mendapat tentangan yang hebat dari kaum yang tidak mempercayai mereka. Ini kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan agar mensyirikkan Allah S.W.T sedangkan masyarakat manusia pertama yang dihidupkan Allah S.W.T adalah dari kalangan orang yang beriman. Justeru itu, para rasul ini telah dikurniakan Allah S.W.T dengan kelebihan yang dinamakan sebagai mukjizat bagi menjadi tanda kepada manusia bahawa meraka benar-benar adalah utusan Allah S.W.T. Namun begitu, terdapat dua bentuk perkara luar biasa yang kelihatan menyamai mukjizat yang disebut sebagai sihir dan karamah. Berikut adalah perbezaan di antara ketiga-tiga perkara luar biasa tersebut:-


KEPADA SIAPA KELEBIHAN TERSEBUT DIBERIKAN
Sihir
Boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja yang mempelajarinya. Biasanya berlaku dengan adanya bantuan jin dan syaitan.
Mukjizat
Mukjizat hanya diberikan kepada para nabi dan rasul Allah S.W.T.
Karamah
Hanya diberikan Allah S.W.T kepada para waliNya (kekasihNya).


CARA MEMPEROLEH KELEBIHAN TERSEBUT
Sihir
Ilmu yang boleh dipelajari oleh sesiapa yang mengkehendakinya. Selalunya syaitan akan menetapkan syarat-syarat yang aneh dan kotor bagi sesiapa yang ingin mempelajarinya, samada kotor secara batin (seperti syirik, iaitu meminta dirinya disembah) ataupun kotor secara fizikal (seperti dikehendaki menyeret mushaf Al-Quran ke dalam tandas, menulis ayat Kursi dengan darah haid, menyimpan najis yang terjatuh dan sebagainya). Haram beramal dengannya dan boleh menyebabkan seseorang jatuh syirik.
Mukjizat
Datang beserta pangkat kerasulan. Merupakan pemberian Allah S.W.T. Mencabar teknologi atau kemahiran yang sedia ada pada satu-satu zaman atau umat.
Karamah
Datang apabila seseorang hamba Allah S.W.T beribadah kepada Allah S.W.T dengan menyempurnakan segala yang Allah S.W.T wajibkan, menambah dengan amalan-amalan sunat dan menjauhi laranganNya, sehingga Allah S.W.T sendiri menyintainya. Merupakan pemberian Allah S.W.T tanpa diminta oleh si wali.


TUJUAN MEMPEROLEH KELEBIHAN TERSEBUT
Sihir
Selalunya dipelajari bagi menganiayai orang lain, ataupun untuk berlaku riak dengan kebolehan yang dimiliki. Tidak ada istilah sihir yang dipelajari bagi tujuan yang baik, kerana amalan sihir itu sendiri merupakan syirik kepada Allah S.W.T. Malahan bagi mengekalkan atau menambah kebolehan yang ada, syarat-syarat atau amalan yang diminta syaitan pasti akan bertentangan dengan syariat, seperti tidak boleh kena air atau tidak boleh mandi. Apabila tidak boleh kena air atau mandi, secara automatik wuduk dan mandi hadas tidak boleh dilaksanakan, justeru membawa kepada amalan meniggalkan solat, dan itulah yang dikehendaki syaitan pada hakikatnya.
Mukjizat
Bagi membuktikan bahawa si pemegang mukjizat adalah Rasul dari Allah S.W.T. Sebagai bukti kebenaran risalah yang dibawa.
Karamah
Untuk memuliakan mereka dan sebagai tanda bahawa mereka adalah golongan yang berada hamper dengan Allah S.W.T. Karamah juga diberikan oleh Allah S.W.T bagi menolong hambaNya di waktu kesusahan, dan ini merupakan antara tanda sahnya sesuatu karamah itu. Sebagai contoh, ketika Imam Ahmad ibnu Hanbal disebat di dalam penjara, tali pinggang beliau putus kerana kuatnya sebatan yang dikenakan, sehingga seluar yang beliau pakai hampir terjatuh dan beliau khuatiri aurat beliau akan terdedah. Lalu Imam Ahmad berdoa agar aurat beliau diselamatkan, dan sepasang tangan keluar secara tiba-tiba dari tempat beliau berpijak, mengetatkan ikatan seluar baginda. Orang yang ditugaskan untuk menyebat beliau mula menggeletar dan terlepas tali sebat dari tangannya ketika melihat kejadian itu. Begitu juga dengan kisah Ashabul Kahfi yang tidur selama tiga ratus tahun di dalam gua, sehingga mereka terlepas dan terselamat dari pemerintahan raja yang melarang kepada penyembahan Allah yang Esa.

HUKUM KETIKA ORANG MENYAKSIKAN KELEBIHAN TERSEBUT
Sihir
Haram hukumnya melawat bomoh, meminta pertolongannya apalagi percaya dengan kebolehannya. Begitu juga dengan mereka yang mendakwa mempunyai karamah, lalu menunjuk-nunjukkannya di hadapan orang ramai, maka semestinya itu bukanlah karamah bahkan sihir. Jikalau kita terserempak dengan sesiapa yang mempunyai kebolehan luar biasa, hendaklah kita bertanya dua soalan:-
1) Adakah kebolehan tersebut di luar kebiasaan, iaitu luar biasa?
2) Adakah ia dipelajari oleh si pembuat?
Jikalau jawapan bagi keduanya ialah ‘ya’, maka ketahuilah bahawa ‘amalan luar biasa yang boleh dipelajari’ adalah definisi bagi perkataan ‘sihir’.
Mukjizat
Diberikan Allah S.W.T kepada para rasul bagi membuktikan kebenaran para rasul, maka sememangnya mukjizat itu bertujuan untuk diperlihatkan kepada orang ramai.
Karamah
Bagi sesiapa yang dikurniakan Allah S.W.T karamah, dan dia tahu mengenainya, haruslah dia berdiam diri dan tidak memberitahu tentang perkara tersebut kepada sesiapa sekalipun selama mana dia masih hidup. Begitu juga bagi sesiapa yang menyaksikan karamah seseorang, tidak boleh baginya menghebahkan perkara tersebut kepada orang lain. Ini adalah kerana karamah itu merupakan pertolongan dan pemberian dari Allah S.W.T, maka hal tersebut adalah sulit di antara Allah S.W.T dan hamba tersebut. Juga diharamkan untuk dihebahkan kerana hal tersebut akan menimbulkan fitnah terhadap orang ramai. Berapa ramai orang akan mencari individu ini, memohon keberkatan, mohon diselamatkan dari api neraka, mohon kebenaran untuk masuk ke syurga dan sebagainya, walhal segala perkara ini merupakan hanya hak Allah S.W.T sahaja. Di dalam surah Al-Fatihah kita seringkali menyebut “Iyyaaka na’budu wa iyyaaka nasta’iin”, iaitu ‘hanya kepada Engkaulah (Allah S.W.T) kami menujukan segala bentuk ibadah kami, dan hanya kepada Engkaulah (Allah S.W.T) kami memohon pertolongan (untuk ke syurga, selamat dari neraka, keluar dari kesusahan, mohon diberikan rezeki dan sebagainya)”. Begitu juga kita perhatikan berapa banyak kubur-kubur yang dikatakan kubur para wali, lalu ramai manusia pergi dan berdoa kepada kubur tersebut dan meminta segala hal, dan ada juga di antaranya yang dijadikan sebagai tempat untuk menunaikan nazar. Hal ini juga nyata-nyata haram. Di dalam sebuah hadis, terdapat seorang sahabat yang ingin menunaikan nazarnya dengan menyembelih seekor kambing, lalu beliau bertanyakan hal tersebut kepada Rasulullah saw, “Ya Rasulullah, sungguh aku telah bernazar untuk menyembelih seekor kambing di tempat sekian-sekian, maka apakah pandanganmu?”, tanya baginda kepadanya “Apakah ada di tempat tersebut kuburan yang mana orang menunaikan nazarnya di situ?”. Jawab sahabat tadi, “Tiada”. Maka jawab Rasulullah S.A.W “Maka laksanakanlah nazarmu itu”. Jelas jikalau ada sebarang kuburan di situ, yang mana orang ramai meminta-mintadan menunaikan nazar di situ, secara pasti Rasulullah S.A.W akan menghalangnya.

ADAKAH KELEBIHAN TERSEBUT BOLEH DIATASI
Sihir
Sihir yang dipandang ‘hebat’ secara pasti boleh dan akan di atasi oleh sihir orang lain yang lebih hebat lagi. Ini kerana sihir itu dipelajari, maka sesiapa yang belajar dengan lebih tinggi dan mematuhi syarat-syarat syaitan yang lebih dahsyat, maka dia akan memperoleh sihir yang lebih tinggi.
Mukjizat
Sama sekali tidak boleh diatasi oleh sesiapapun di dunia, dan itu merupakan ciri utama mukjizat.
Karamah
Karamah tidak dibanding-bandingkan darjatnya di antara satu karamah dengan karamah yang lain. Ini kerana sesiapa yang diberikan Allah S.W.T karamah itu merupakan tanda bahawa dia dimuliakan Allah S.W.T, dan tiada apa lagi yang kitA perlukan selain dari itu. Begitu juga kerana karamah itu selalunya adalah pertolongan Allah S.W.T ketika susah, bukan suatu pameran untuk dibangga-banggakan di hadapan orang ramai.

KEKAL ATAU TIDAK KELEBIHAN TERSEBUT
Sihir
Boleh diatasi dan dibayangi oleh sihir orang-orang yang lain.
Mukjizat
Ada mukjizat yang kekal hingga ke akhir zaman, seperti mukjizat Nabi Muhammad S.A.W yang terbesar, iaitu Al-Quran. Adapun mukjizat yang lain tidak kekal, namun tetap darjat kehebatannya tidak dapat dan tidak akan diatasi hingga ke hari Kiamat, seperti mukjizat Nabi Musa membelah lautan, Nabi Isa menghidupkan orang mati dan sebagainya.
Karamah
Terjadi ketika itu sahaja, dan seperti yang dikatakan penulis sekadar menyelamatkan hambaNya di waktu kesusahan.

CONTOH-CONTOH KELEBIHAN TERSEBUT
Sihir
-          Santau.
-          Pukau.
-          Minyak dagu (pengasih).
Mukjizat
-          Nabi Isa A.S – Mengetahui simpanan makanan di rumah kaumnya; menghidupkan orang mati; menyembuhkan orang buta.
-          Nabi Musa A.S – Tongkatnya membelah Laut Merah; tongkatnya bertukar menjadi ular menewaskan cabaran tukang sihir Fir’aun; tangannya bersinar selepas dimasukkan ke dalam saku baju.
-          Nabi Muhammad S.A.W – Al-Quran; air keluar dari celahan jari baginda; mendengar rintihan unta; membelah bulan.
Karamah
-          Kasyaf Saidina Umar al-Khattab – Nampak tenteranya yang sedang berperang sedangkan jarak antara Saidina Umar al-Khattab dan tenteranya adalah jauh.
-          Doa mustajab Said bin Zaid.
 
Sungguh andai kita perhatikan dengan jelas, perbezaan di antara sihir, mukjizat dan karamah semestinya bukan perkara yang mengelirukan. Malahan dengan mudah sahaja dapat kita bezakan yang mana, seandainya kita bertemu dengan perkara-perkara aneh di dalam masyarakat kita. Sayang sekali memang ramai di antara kita yang gemarkan perkara-perkara sebegini, malahan menyimpan cita-cita untuk menguasai kebolehan-kebolehan yang luar biasa.

Contohnya seperti mereka yang menyertai kelab silat, sangat kagum dengan tok-tok guru mereka, yang kononnya kebal dari sebarang tikaman senjata, boleh melompat jauh seperti harimau mahupun terbang seperti seekor helang. Ada juga di antara mereka yang dikatakan mengetahui sejarah silam anak murid sebaik sahaja mereka bertemu, dan boleh memberitahukan mereka hal-hal rahsia mereka yang tidak diketahui orang lain. Ada juga di antara mereka yang dikatakan mempunyai cincin yang mampu berkokok seperti ayam dan juga sebagainya.

Sebenarnya jika kita ambil kira factor kemungkinan sihir yang terlibat, sudah pastilah sihir itu mampu menampakkan kita perkara-perkara yang aneh dan luar biasa. Namun jika kita ketahui segalanya hanyalah angkara syaitan, maka tiada sihir yang mampu membuatkan kita berasa kagum dan ingin memilikinya.

Begitu juga halnya dengan karamah. Sesungguhnya ada hamba Allah S.W.T yang diberikan oleh Allah S.W.T karamah, namun perlu kita ingati, kisah-kisah mereka yang mendapat karamah, yang didatangkan dengan jalur yang sahih, adakah mereka semua mengejar karamah? Adakah tujuan mereka beribadah dengan niat untuk beroleh karamah, seperti mana yang kita lihat ada amalan yang dilakukan kini? Atau adakah mereka beroleh karamah oleh kerana kesolihan mereka, dan juga pengorbanan mereka di dalam mengembangkan dan menegakkan agama Allah S.W.T?

Sebagai contoh kisah berkenaan Imam Ahmad Hanbal. Adakah Imam Ahmad Hanbal itu seorang ahli ibadah di dalam gua, yang tidak keluar selama puluhan tahun, hanya beribadah kepada Allah S.W.T? Adakah Imam Ahmad itu seorang ahli ibadah yang tidak kahwin, tidak makan dan tidak minum? Atau adakah dia seorang penulis, penghafal, pengumpul dan penjaga hadis, ahli dalam ilmu jarah ta’dil, ahli dalam fekah, tafsir, serta sekian selok-belok agama yang mendalam? Yang mana setelah beliau mempelajarinya, beliau ajarkan dan sebarkan kepada orang lain? Lihatlah ciri-ciri kekasih Allah S.W.T yang sejati, adakah mereka menepati gambaran kita kepada gelaran ‘wali Allah S.W.T’, ataupun peribadi beliau telah mengubah persepsi kita tentang syarat dan amalan untuk memperoleh gelaran wali Allah S.W.T.

Mendapat karamah bukan merupakan syarat untuk masuk ke syurga, ataupun syarat untuk bahagia dan memperoleh hidayah di dunia dan di akhirat. Berapa ramai dari kalangan sahabat Rasulullah S.A.W yang tidak pernah kita dengar tentang karamah mereka, namun mereka tetap dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T. Oleh kerana itu, karamah itu sendiri bukanlah tujuan utama kita beribadah, bahkan ianya bonus dari Allah S.W.T. Jika Dia kehendaki, akan Dia berikan, dan begitu juga sebaliknya. Ibadah kita haruslah ikhlas kepada Allah S.W.T dengan mengharapkan syurga dan berlindung denganNya dari neraka.
(sambung......)

********** ShArInG iS cArInG **********

1 ulasan:

HASIL NUKILAN ELY CLOUD STORAGE